PASIR GUDANG, 27 Jan. – Karnival Jualan Mega Muafakat yang dianjurkan di negeri ini dapat membantu masyarakat di Johor mengurangkan kos sara hidup.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata penganjuran karnival itu juga membolehkan pengguna membeli terus daripada pengeluar tanpa melalui pelbagai lapisan perniagaan seperti pemborong dan peruncit.

“Kesemuanya akan dijual terus dari pengeluar yang terlibat, tanpa melalui orang tengah dan tiada kenaikan harga. Jadi ini adalah satu peluang yang menarik untuk semua,” katanya ketika melancarkan Karnival Jualan Mega Muafakat Dan Biorosot Biokompos Johor 2018 di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini hari ini.

Beliau berkata, melalui karnival itu juga kerajaan negeri dapat memastikan pihak industri dan peniaga terlibat sama secara serius dalam membantu mengurangkan kos sara hidup.

“Kita mahu semua pihak faham bahawa kos sara hidup adalah isu yang harus ditangani secara bersama oleh semua pihak.

“Ia bukan tugas dan tanggungjawab kerajaan negeri sahaja dan ia tidak seharusnya dilakukan dengan cara memberikan insentif dan bantuan kepada mereka yang memerlukan sahaja.

“Sebaliknya, kita mesti mencuba dan menggunakan pelbagai cara yang ada. Selagi ia dapat memberikan kelebihan kepada para pengguna, maka kita mesti melaksanakannya,” katanya.

Tambah beliau lagi, karnival itu turut diadakan untuk memperkenalkan pelbagai industri yang ada di seluruh Johor dalam satu karnival jualan besar-besaran.

“Kita tahu, Johor ini banyak produk. Orang Johor suka berniaga dan pandai berniaga, malah mereka mempunyai produk tempatan yang bukan sahaja berkualiti tetapi sebenarnya banyak dieksport ke luar.

“Namun, kesemua ini tidak diketahui oleh masyarakat kita sendiri. Sebab itulah, melalui program ini, kita harap orang Johor akan sedar dan dapat melihat sendiri segala produk-produk tempatan Johor yang kita keluarkan,” katanya.

Antara pengisian program karnival yang berlangsung dari 26 hingga 28 Januari itu adalah seperti pameran daripada 60 buah agensi kerajaan dan syarikat swasta, merangkumi aktiviti jualan usahawan, karnival trak makanan, pertandingan mewarna dan hiburan.

Bersempena karnival itu, para peniaga dan orang ramai boleh mendapatkan produk pembungkusan boleh urai (biodegradable), secara terus dengan harga yang berpatutan dan pelbagai barangan yang ditawarkan dengan potongan harga sehingga 50 peratus.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dan Kepengunaan Negeri Johor, Datuk Tee Siew Kiong dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Datuk Ayub Rahmat.

Sumber : Jauhar